KUALA LUMPUR 5 Ogos – Akibat meludah pegawai polis dan mengugut serta menghalang tugas penjawat awam, seorang pengumpul besi buruk hari ini didenda RM2,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Zainal Abidin Najeeb, 25, turut didenda RM300 atau penjara dua bulan kerana gagal menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan diri kepada polis.
Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Majistret Nor Azah Kasran selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah atas kesemua pertuduhan berkenaan.
Zainal Abidin dari Selayang sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika pertama kali didakwa di mahkamah pada 20 November lalu.
Tertuduh mengaku melakukan ugutan jenayah kepada Inspektor M. Sathiyaseelan dan menghalangnya daripada menjalankan tugas di Balai Polis Jinjang, Sentul di sini pada pukul 11.15 malam, 16 November tahun lalu.
Kedua-dua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 506 dan 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun dan tujuh tahun atau denda.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, pengumpul besi buruk itu mengaku berkelakuan tidak senonoh dengan meludah anggota polis dan gagal menunjukkan kad pengenalan pada tarikh dan tempat yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara bagi kesalahan gagal mengemukakan kad pengenalan, dia didakwa mengikut Peraturan 25(1) Pendaftaran Negara 1959 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi tuduhan mengugut, dia dikenakan denda RM1,000 manakala bagi tuduhan menghalang penjawat awam, dia didenda RM900. Dia turut didenda RM100 bagi kesalahan meludah anggota polis.
sumber
Pusat Sumber BAKA IPK Kedah
No comments:
Post a Comment