Saturday, December 4, 2010

Kes pikat isteri orang


Minda: Kes pikat isteri orang

PERBUATAN menggoda isteri orang dengan niat untuk bersanggama adalah satu kesalahan mengikut undang-undang negara.
Kesalahan itu termaktub dalam Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang menyebut memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks adalah satu kesalahan jenayah.
Tafsiran seksyen berkenaan berbunyi begini: Barang siapa membawa atau memikat seseorang perempuan yang menjadi dan yang ia ketahui atau ada sebab untuk mempercayai sebagai isteri seseorang lelaki lain atau, daripada lelaki itu, atau daripada seseorang yang bertanggungjawab menjaga perempuan itu bagi pihak lelaki berkenaan, dengan niat supaya perempuan itu boleh melakukan persetubuhan yang ditegah dengan mana-mana orang, atau barang siapa menyembunyikan, atau menahan dengan niat itu seseorang perempuan tersebut, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Meskipun undang-undang itu sudah sekian lama wujud namun ia hanya diketahui umum secara meluas akhir-akhir ini apabila prosiding satu kes membabitkan seorang selebriti jelita serta suaminya dan seorang tokoh korporat dilaporkan media massa.

Walaupun kes itu belum diadili sepenuhnya, ia sudah dibawa ke Mahkamah Persekutuan berikutan pertikaian membabitkan isu tunjang yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan.

Namun, baru-baru ini, mahkamah tertinggi negara itu memutus untuk menghantar balik kes berkenaan ke Mahkamah Majistret untuk dibicarakan.

Penghakiman itu dibuat berikutan Mahkamah Persekutuan berpendapat Mahkamah Majistret perlu memutuskan fakta kes berkenaan terlebih dahulu sebelum pihak terbabit boleh memohon untuk merujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk menimbang tara isu berkaitan Perlembagaan yang menjadi perhujahan.

Dalam kes itu, penerbit rancangan televisyen, Ryan Chong Yiing Yih, 32, mengheret tokoh korporat, Darren Choy, 45, ke mahkamah atas dakwaan memikat isterinya yang juga seorang selebriti terkenal, Daphne Iking, 30, dengan niat supaya wanita itu melakukan persetubuhan dengannya.

Choy didakwa melakukan kesalahan itu di kondominium The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail di ibu kota antara Julai 2007 dan September 2008 lalu.

Meskipun pertuduhan yang dikenakan adalah kesalahan jenayah namun pendakwa raya membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Choy dengan alasan kes itu merupakan isu peribadi membabitkan suami isteri.

Justeru, sebagai pilihan, pada Ogos tahun lepas, Majistret Mohd Faizi Che Abu mengizinkan Chong mengemukakan saman peribadi terhadap Choy.

Perbicaraan berkenaan jelas menarik perhatian beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Women’s Action Society, Sisters in Islam (SIS) serta Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor yang menghantar peguam pemerhati untuk mengikuti prosiding.

Dalam kes itu, Choy diwakili peguam Jagjit Singh, Akbardin Abdul Kader dan Datuk Cyrus Dass manakala Chong diwakili peguam Wong Kian Kheong.

Dua peguam lain, Ravi Nekoo dan Pushpa Ratnam menjadi pemerhati bagi pihak Iking. Manakala peguam, Edmond Bon dan Aston Paiva mengikuti prosiding bagi pihak Majlis Peguam Malaysia.

Iking berkahwin dengan Chong pada 27 Januari 2007 di Bali, Indonesia.
Mereka mempunyai seorang anak perempuan bernama Isobel Daniella Iking-Chong. Pasangan itu, bagaimanapun, bercerai pada 2008.

Tidak berpuas hati dengan keputusan majistret membenarkan Chong mengemukakan saman peribadi terhadapnya meskipun pendakwa raya enggan meneruskan kes, Choy memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Apabila rayuan didengar Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Sofian Abd Razak pada 24 Ogos lalu, peguam Choy turut menimbulkan isu tujuh perkara tunjang yang bersangkut paut dengan Perlembagaan serta kesahihan pertuduhan yang dikenakan mengikut Seksyen 498.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, beliau memutuskan untuk merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan kerana kepentingan isu Perlembagaan yang ditimbulkan.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mendengar permohonan rujukan Choy itu pada 7 November lalu.

Bagaimanapun, mereka bertindak membatal permohonan itu seraya menghantar kes berkenaan untuk dibicarakan di Mahkamah Majistret pada satu tarikh yang diawalkan.

“Kita tidak jawab soalan undang-undang tanpa fakta atau berdasarkan soalan andaian semata-mata,” kata Zaki yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Md Raus Sharif.

Antara tujuh isu yang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk pertimbangan ialah:
• sama ada Seksyen 498 Kanun Keseksaan satu undang-undang yang berat sebelah kerana hanya menjadikan lelaki sebagai sasaran liabiliti jenayah dan sehubungan itu, bertentangan dengan Perkara 8 (1) dan (2) Perlembagaan yang mengikrarkan kesaksamaan lelaki dan wanita di sisi perundangan.
• sama ada seksyen itu berbentuk diskriminasi terhadap lelaki kerana hanya menjenayahkan tindakan lelaki semata-mata walaupun dalam perbuatan yang dilakukan bersama atau dengan persetujuan pihak perempuan dan sehubungan itu, bertentangan dengan Perkara 8 (1) dan (2) Perlembagaan.
• sama ada seksyen itu juga bertentangan dengan Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan yang mana ia merampas kebebasan seorang lelaki untuk berkawan atau berhubungan dengan wanita yang sudah berkahwin.

Perkara 5 (1) menyebut tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang.
• sama ada seksyen itu merupakan satu peruntukan undang-undang yang tidak munasabah dan kuno kerana membawa tanggapan bahawa kaum wanita tidak ubah seperti barang dan tidak mempunyai keupayaan untuk menjalin persahabatan dengan lelaki secara rasional.

Kes itu akan dibicara oleh Mahkamah Majistret pada 29 November ini.

Sumber Rujukan : Perpustakaan BAKA IPK Kedah
(Harian Metro 22 November 2010)

Thursday, August 12, 2010

Rasuah: Pengawal Keselamatan Dipenjara, Denda



SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan seorang pengawal keselamatan dihukum penjara selama 14 hari bermula Khamis, dan didenda RM10,000 kerana menerima wang rasuah, dua tahun lalu.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman itu terhadap V.Krishnakumar, 25, selepas menerima pengakuan salahnya dan memerintahkan tertuduh turut dipenjarakan lima bulan jika gagal menjelaskan denda.

Tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM1,000 daripada pesara polis, M.Davadass, 54, pada pukul 8.30 malam, 3 November 2008 di Restoran Berkeley Corner, Jalan Lebuh Angsa, Kawasan 17, Taman Berkeley, Klang, dekat sini.



Ini kerana, kereta itu didakwa telah tertunggak bayaran ansuran selama empat bulan.

Tertuduh ditangkap sejurus selepas menerima wang kerana ia merupakan perangkap yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran aduan Davadass.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Zainal Ayob mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi.

Dalam usaha meringankan hukuman, peguam A.Komathi merayu mahkamah mempertimbangkan faktor tertuduh telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.

sumber
Pusat Sumber BAKA IPK Kedah

Wednesday, August 11, 2010

Lelaki didenda RM2,000 ludah, ugut polis

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Akibat meludah pegawai polis dan mengugut serta menghalang tugas penjawat awam, seorang pengumpul besi buruk hari ini didenda RM2,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Zainal Abidin Najeeb, 25, turut didenda RM300 atau penjara dua bulan kerana gagal menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan diri kepada polis.

Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Majistret Nor Azah Kasran selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah atas kesemua pertuduhan berkenaan.

Zainal Abidin dari Selayang sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika pertama kali didakwa di mahkamah pada 20 November lalu.

Tertuduh mengaku melakukan ugutan jenayah kepada Inspektor M. Sathiyaseelan dan menghalangnya daripada menjalankan tugas di Balai Polis Jinjang, Sentul di sini pada pukul 11.15 malam, 16 November tahun lalu.

Kedua-dua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 506 dan 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun dan tujuh tahun atau denda.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, pengumpul besi buruk itu mengaku berkelakuan tidak senonoh dengan meludah anggota polis dan gagal menunjukkan kad pengenalan pada tarikh dan tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara bagi kesalahan gagal mengemukakan kad pengenalan, dia didakwa mengikut Peraturan 25(1) Pendaftaran Negara 1959 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi tuduhan mengugut, dia dikenakan denda RM1,000 manakala bagi tuduhan menghalang penjawat awam, dia didenda RM900. Dia turut didenda RM100 bagi kesalahan meludah anggota polis.

sumber
Pusat Sumber BAKA IPK Kedah